Monday, October 11, 2010

Sidang Akhbar MayDay 2010 !



Sidang Akhbar MayDay!

Turun ramai- ramai ke sambutan MAYDAY!

Tuesday, 20 April 2010

Hari ini satu sidang akhbar telah diadakan untuk mengumumkan PERHIMPUNAN AMAN MEI 1, 2010. Sdri Nalini E, Penyelaras mengumumkan bahawa Perhimpunan Aman ini akan diadakan pada 11 pagi di Dataran Merdeka. Namun begitu, orang ramai dinasihatkan untuk berkumpul lebih kurang jam 10.30 pagi. Tema Sambutan Hari Pekerja Tahun ini adalah "RAKYAT BANTAH GST: CUKAI YANG MISKINKAN RAKYAT".

Menurut Saudara Arutchelvan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), tarikh Mei 1 ini cukup signifikan. Di Malaysia hanya ada 4 hari yang diumumkan sebagai cuti umum wajib iaitu Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan yang di-Pertuan Agung, Hari Keputeraan Sultan atau Yang Dipertua Negeri dan Mei 1 (Hari Pekerja) adalah salah satu daripadanya. Beliau berkata, pada Mei 1, ada dua kumpulan yang biasanya mengadakan Sambutan Hari Pekerja. Yang pertama ada Jawatankuasa Mei 1 yang mengadakan sambutan ini sejak tahun 1994. Kumpulan kedua adalah MTUC. Menurut Sdr. Arul lagi, Mei 1 tahun ini memfokuskan Cukai GST kerana ia akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan pekerja.

Manakala Sdr. YB Dr. Hatta yang juga merupakan Pengerusi Gabungan PROTES, mengatakan rakyat harus turun pada Mei 1 dan membantah perlaksanaan Cukai GST. Sebelum ini Gabungan PROTES telah menangguhkan Perhimpunan Bantah Cukai GST di hadapan Parlimen yang dijadualkan pada 15 Mac apabila Kerajaan menangguhkan bacaan kedua Rang Undang-Undang GST. Kini, sebagai menyahut seruan Kerajaan yang mahukan maklumbalas rakyat terhadap GST, Perhimpunan Aman akan diadakan pada Mei 1 untuk menyuarakan pandangan rakyat.

Turut hadir sama adalah Sdr Jayanath dari Saya Anak Bangsa Malaysia. Beliau berkata Perhimpunan ini bukan hanya perlu disertai oleh NGO dan parti politik, malah rakyat jelata harus turun menyuarakan pendapat mereka. Sementara itu, Sdr, Heng Lung dari SUARAM pula menggesa Kerajaan untuk menggubalkan AKTA GAJI MINIMA RM1500 dan bukannya AKTA GST yang akan membebankan rakyat Malaysia.

KENYATAAN AKHBAR
JAWATANKUASA MEI 1, 2010

PERHIMPUNAN AMAN BANTAH GST: CUKAI YANG MISKINKAN RAKYAT
1 MEI 2010, DATARAN MERDEKA

Pada 1 Mei 2010 sempena Hari Pekerja Sedunia, Jawatankuasa Mei 1 yang dianggotai oleh kumpulan-kumpulan masyarakat dan NGO seperti Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), DEMA, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Persatuan Sahabat Wanita, parti politik seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan Parti Islam Semalaysia (PAS) dan juga individu-individu yang prihatin telah membuat keputusan untuk membuat satu himpunan aman untuk membantah Goods and Service Tax (GST).

Hari ini Jawatankuasa Mei 1, penganjur utama Himpunan ini ingin memaklumkan bahawa Himpunan Aman Bantah GST adalah pada 1 Mei 2010, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada pukul 11 pagi. Tema Sambutan Hari Pekerja tahun ini adalah- RAKYAT BANTAH GST: CUKAI YANG MISKINKAN RAKYAT.
Tarikh 1 Mei dipilih sempena sambutan Hari Pekerja yang akan disambut di seluruh dunia. Di Malaysia tahun ini merupakan Sambutan Hari Pekerja yang ke-16 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Mei 1. Hari pekerja ini adalah satu hari yang penting yang disambut oleh seluruh warga pekerja di serata dunia untuk mengingat kembali sejarah perjuangan pekerja yang dimulakan pada tahun 1886 yang menuntut 8 jam kerja dan dan cuti satu hari. Perjuangan ini pada asanya bermula di Amerika Syarikat dan tarikh signifikan bermulanya perjuangan ini adalah pada 1hb Mei.
Hasil daripada pejuangan yang berterusan ini, akhirnya pada tahun 1919, Pertubuhan Buruh Antarabangsa telah menerima waktu kerja 8 jam sehari sebagai piawaian sejagat dan Tarikh 1 Mei diumumkan sebagai Hari Pekerja Sedunia.

Sambutan Hari Pekerja ini akan berfokus kepada isu GST iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang akan dikenakan terhadap rakyat Malaysia tidak lama lagi. Walaupun kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa Cukai GST ini tidak akan dilaksanakan pada masa yang terdekat ini namun, kita percaya bahawa sehingga sekarang kerajaan masih tidak menunjukkan sebarang langkah-langkah untuk memansuhkan terus azam mereka untuk laksanakan GST.

Malah kerajaan telah meminta maklum balas daripada rakyat tentang GST ini. Maka, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dengan keadaan ekonomi khasnya golongan berpendapatan rendah, maka kami telah memutuskan untuk memberikan maklum balas kami melalui satu Himpunan yang aman untuk memberitahu kepada kerajaan bahawa Kami rakyat Malaysia membantah GST.

Maka, antara Tuntutan Utama kami pada Sambutan Mei 1 adalah:
· Batalkan atau Mansuhkan GST
· Gubal Akta Gaji Minima untuk semua pekerja dan mansuhkan polisi gaji murah
· Wujudkan Tabung Pembuangan Kerja Dengan Segera
· Cuti Bersalin 90 hari untuk pekerja wanita.
· Hak saksama kepada pekerja migran dan Pelarian .
· Sediakan atau Laksanakan Skim Perumahan Rakyat
· Hentikan penswastaan perkhidmatan asas
· Laksanakan Polisi ekonomi yang tidak mengira kaum dan jantina tetapi berlandaskan keperluan .
· Iktiraf Hak Tanah Adat Orang Asal di Malaysia

Jawatankuasa Mei 1, menganjurkan Himpunan Aman Bantah GST bagi menyeru danmenggembleng seluruh warganegara Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat, budaya, bangsa dan agama yang cintakan keadilan, kebenaran dan keamanan rakyat untuk turut serta berhimpun pada 1 Mei 2010 bagi menyatakan sikap tegas kita terhadap GST. Bersama memansuhkan GST dan membebaskan bumi Malaysia daripada beban cukai yang tidak releven kepada Rakyat.

JOM BANTAH GST
HIDUP RAKYAT! HIDUP PERJUANGAN

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home