Thursday, October 7, 2010

Sokongan Kepada Perjuangan Peneroka Bandar Di Kempas, Johor



Sumber : Blog Suhaizan Kaiat

Perjuangan setinggan Kempas bersama Pusat Aduan Rakyat(PAR)Kempas bermula pada 18hb April 2008 dengan penubuhan sebuah Jawatankuasa Bertindak Setinggan Kempas yang dipengerusikan oleh Sdr. Ramli Bin Ibrahim. Jawatankuasa ini dibentuk dibawah PAR Kempas. Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk membela nasib penduduk setinggan Kempas yang berjumlah lebihkurang 9,624 orang daripada 2,000 keluarga. Penduduk setinggan ini bakal diusir dpd kampung halaman yang mereka telah tinggal lebih 20 tahun yang lalu.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab menjaga kepentingan 18 penduduk setinggan iaitu Denai Pinggiran, Denai Utama, Denai Selatan, Denai Aman, Denai Damai, Lorong Denai 15, Sawa, Lurah, Seri Rahmat 1, Seri Rahmat 2, Kg Gudang Beras, Seri Kempas 1, Seri Kempas 2, Kg Lembah Murni, Permatang, Sinaran, Banjaran dan Rumah Pangsa PPR.
Jawatankuasa ini telah berjaya menganjurkan satu Himpunan Warga Setinggan Kempas pada 1hb Mei 2008 di Jln Denai 2, Pesimpangan Denai 7. Kehadiran penduduk setinggan adalah diluar jangka dimana pihak penganjur hanya mensasarkan 300 orang sahaja tetapi kehadiran pada masa tersebut melebihi 600 orang. Ramai peserta telah meluahkan perasaan mereka sepanjang menduduki penempatan setinggan di Kempas. Program ini membuktikan sokongan padu daripada warga setinggan Kempas.

Pada 15hb Jun 2008 suatu himpunan setinggan Kempas kali kedua telah diadakan di Kempas bersama YB. Salahuddin Ayub Ayub Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan. Tujuannya untuk mengumpul tandatangan merayu pihak kerajaan mempertimbangkan rayuan mereka sekurang-kurangnya mengadakan perbincangan dengan mereka. Tandatangan ini dikumpul untuk diserahkan kepada Y.A.B Menteri Besar Johor Dato Abdul Ghani Bin Othman.

Pada jumaat 20hb. Jun 2008 tepat jam 12 tengahari Jawatankuasa Bertindak Penduduk Setinggan Kempas yang diketuai Pengerusinya Sdr. Ramli Hj Ibrahim telah berjaya menyerahkan memorandum setinggan Kempas bersama 1,200 tandatangan penduduk. Dalam memorandum ini mereka menuntut dikurniakan tanah oleh pihak kerajaan dalam kawasan Kempas seperti pengurniaan kepada penduduk setinggan Kg. Sri Serdang Baru(Perling), Kg Sri Jaya Baru(Perling) dan Kg. Pasir(Tampoi). Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman telah menerima memorandum tersebut selepas sidang Dewan Undangan Negeri dan berjanji akan memperhalusi isi kandungan memorandum tersebut. Beliau menolak cadangan untuk mengadakan pertemuan ringkas pada hari tersebut atas alasan kesuntukkan masa. Beliau juga menolak apabila diajak bergambar bersama delegasi. ”Dah terima dah, tak perlu ambil gambar lagi” kata Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor.

Pihak kerajaan Negeri Johor tidak langsung mempertimbangkan permohonan penduduk setinggan Kempas. Akhirnya sebahagian penduduk setinggan telah berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai pada awal tahun 2009. Mereka terpaksa membayar deposit sebanyak RM840 dan menyewa di bangunan tersebut sebanyak RM124 sebulan. Secara puratanya mereka terpaksa berbelanja sebanyak RM1500 untuk memulakan hidup baru di rumah pangsa ini. Pihak kerajaan negeri Johor tidak langsung membantu mengurangkan bebanan mereka. Sebahagian penduduk telah mendesak agar diberi peluang kepada penduduk PPR diberi pilihan untuk memiliki rumah ini secara kaedah jual-beli seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 10hb Oktober 2009 di Kuala Lumpur. Sehingga kini tiada respon daripada pihak Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

Akhirnya Kampung Denai Pinggiran yang merupakan salah sebuah kampung setinggan Kempas telah menerima notis pindah. Mereka telah menerima notis keluar daripada kampung mereka pada 15hb Oktober 2009. Setelah Menteri Besar Johor tidak langsung mempertimbangkan permintaan mereka malah mengusir mereka daripada kampung maka pada 27hb Oktober 2009 penduduk setinggan Kg Denai Pinggiran, Kempas telah menghantar suatu memorandum kepada Y.A.B Dato’ Sri Najib Bin Tun Abd Razak di Putrajaya dan kepada ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur. Pegawai Khas Perdana Menteri masa itu Dato Nasir Safar telah berjanji akan membawa memorandum tersebut ke pengetahuan Perdana Menteri. Beliau sendiri berjanji dalam tempoh 2 minggu beliau akan turun ke Kg Denai Pinggiran. Malangnya sehingga beliau meletakkan jawatan pun masih tidak ada bayang Dato Nasir turun ke Kempas.

Maklumat terbaharu yang penduduk kampng terima pada hari rabu 24.3.2010 jam 8 pagi Pejabat Tanah Daerah Johor Baharu (PTDJB) bersama pihak polis akan mengepung kawasan Kg Denai Pinggiran untuk tujuan merobohkan penempatan mereka. Penduduk kampung bersama mereka yang bersimpati akan mempertahankan kampung mereka sehingga pihak kerajaan melunaskan tuntutan mereka. Dibawah ini saya sertakan kenyataan media penduduk Kampung Denai Pinggiran pada 23 Oktober 2009.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home