Friday, December 11, 2009

Krisis Ekonomi – Krisis Kapitalis

PEKERJA JANGAN BAYAR SESEN PUN UNTUK SELAMATKAN SISTEM KAPITALIS !

Hari Mei Satu menjelang lagi. Warga pekerja seluruh dunia menyambut Hari Mei Satu yang penuh bermakna ini dengan cabaran krisis ekonomi dan tekad perjuangan yang lebih tinggi pada tahun ini.

Hari Mei Satu, bukan sahaja hari kita menghargai perjuangan pekerja pada masa lampau, tetapi juga hari untuk memperingatkan para pekerja bahawa perjuangan pekerja untuk membebaskan diri daripada belenggu pemerasan dan penindasan sistem kapitalis belum lagi selesai.

Sambutan Mei Satu sebagai Hari Buruh Antarabangsa bermula daripada perjuangan pekerja menuntut masa kerja 8 jam sehari pada penghujung abad ke-19. Perjuangan tersebut telah menyaksikan pengorbanan para pejuang pekerja yang ditindas oleh golongan kapitalis yang berpakat dengan kerajaan yang pro-kapitalis. Namun, dengan tekad perjuangan yang tinggi,masa kerja 8 jam sehari telah diiktiraf sebagai satu hak asasi pekerja di seluruh dunia.

Aksi Mei Satu telah menjadi inspirasi kepada pekerja untuk berjuang demi menuntut hak dan maruah. Bagi memperingati perjuangan gagah perkasa pekerja dalam menuntut kerja 8 jam sehari, para pekerja akan berhenti kerja dan keluar berhimpun serta berarak pada Hari Mei Satu.

Dunia pada hari ini sedang menghadapi krisis yang mendalam. Krisis ekonomi yang hebat telah melanda seluruh dunia akibat daripada keruntuhan sistem kewangan di Amerika Syarikat yang menjadi minyak pelincir untuk sistem kapitalis sedunia. Krisis ekonomi sedunia yang terbaru, seperti krisis-krisis ekonomi yang sebelum ini, adalah berpunca pada sistem kapitalis itu sendiri yang hanya mementingkan keuntungan pemilik modal yang berasaskan pemerasan golongan pekerja dan alam sekitar.

Dunia kita telah semakin kaya dan produktiviti pekerja tidak pernah menurun, tetapi akibat daripada sistem kapitalis yang mengagung-agungkan pasaran bebas bagi tujuan penimbunan keuntungan oleh para kapitalis, hakikatnya adalah yang miskin menjadi lebih miskin lagi di seluruh dunia. Golongan pekerja semakin tertekan akibat daripada dasar ekonomi neoliberal yang diperkenalkan lebih kurang 30 tahun yang lepas, yang melakukan penswastaan perkhidmatan asas, liberalisasi pasaran untuk kepentingan golongan kapitalis, dasar gaji rendah untuk pekerja dan menghancurkan segala peraturan yang menjamin hak pekerja. Sekarang ini, para pekerja dan rakyat biasa ditekan lebih hebat lagi akibat krisis ekonomi sedunia.

Ini adalah krisis kapitalis, mengapa pula pekerja perlu menanggung bayarannya?

Malaysia juga tidak dapat terlepas daripada krisis ekonomi sedunia. Ramai pekerja sedang menghadapi masalah pembuangan kerja, pengurangan gaji, pengangguran dan sebagainya. Keluarga yang berpendapatan rendah akan dijejas oleh kegawatan ekonomi dan menjadi lebih miskin lagi.

Kerajaan Malaysia yang pada awalnya menafikan berlakunya krisis ekonomi di Malaysia akhirnya terpaksa bertindak dengan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi, dengan pakej terbaru yang dilancarkan pada bulan Mac berjumlah RM 60 billion. Persoalan besar timbul sama ada wang yang berjumlah begitu besar ini benar-benar dapat digunakan untuk mengurangkan penderitaan pekerja ataupun hanya untuk selamatkan kroni-kroni yang rapat dengan pihak pemerintah?

Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telahpun menunjukkan wajah pro-kapitalisnya dengan keengganannya untuk melaksanakan akta gaji minima, merampas hak pekerja melalui pemindaan undang-undang buruh, menyekat aktiviti kesatuan sekerja, menjalankan perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan kuasa-kuasa besar dan sebagainya. Adakah kerajaan sama yang sebelum ini menyebelahi golongan kapitalis untuk menindas pekerja, dapat menyelamatkan pekerja daripada keadaan krisis ekonomi yang mendalam ?

Rakyat Malaysia telah memberi pengajaran kepada kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum pada tahun 2008. Namun, Pemerintah masih enggan melakukan perubahan dasar yang menyeluruh demi mengembalikan kuasa kepada rakyat dan melindungi kesejahteraan rakyat. Pihak pemerintah terus mempermainkan politik perkauman, memperalatkan jentera kerajaan untuk menyekat kebebasan rakyat dan menggunakan kekayaan janaan pekerja untuk selamatkan kroni-kroni.

Krisis ekonomi yang telah menyebabkan rakyat biasa semakin tertekan ini telah mencetuskan penentangan hebat daripada golongan pekerja seluruh dunia, sama ada di benua Amerika, Eropah, ataupun di Asia. Sekiranya kerajaan-kerajaan tidak sanggup menyelesaikan krisis ini dengan menjamin kesejahteraan golongan pekerja, gelombang perjuagan pekerja yang lebih besar bakal melanda.

Dalam keadaan krisis ekonomi yang sedang melanda, kita perlu sekali lagi dengan suara yang lantang menegakkan tuntutan rakyat pekerja :

1. Melaksanakan dasar yang melindungi pekerja dan rakyat miskin – menggubal akta gaji minima, melaksanakan tabung pembuangan kerja, perumahan untuk semua, tanah untuk petani dan menghentikan segala penswastaan perkhidmatan awam.

1. Kerajaan tidak boleh sama sekali menggunakan wang rakyat untuk selamatkan bank dan syarikat pemilik modal besar.
2. Kerajaan perlu merombak semula sistem ekonomi negara, dengan memberi penekanan kepada pengagihan kekayaan secara samarata, penyertaan rakyat secara demokratik dan perlindungan alam sekitar.
3. Memansuhkan segala undang-undang yang menyekat kebebasan rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), AUKU dan sebagainya.

Golongan pekerja menjadi tulang belakang pembangunan ekonomi negara dan penjanaan kekayaan masyarakat. Namun, pihak pemerintah kapitalis tidak pernah menghargai sumbangan pekerja ini, malah segala tipu helah dan kekerasan digunakan untuk terus memeras golongan pekerja. Dalam keadaan ekonomi yang stabil, gaji pekerja ditekan pada paras yang rendah dan hak pekerja dirampas satu demi satu. Dalam keadaan ekonomi yang bergelora, pekerja pula dikorbankan untuk menyelamatkan keuntungan golongan kapitalis.

Golongan pekerja dan masyarakat tertindas tidak boleh berdiam diri dan menunggu masa untuk dicincang habis oleh kapitalis. Hanya perjuangan rakyat dari bawah dapat membawa perubahan sejati.Hanya dengan golongan pekerja bersatu sebagai satu kelas yang sedar, kita akan dapat menumpaskan pemerintahan kapitalis yang berasaskan penindasan kelas dan membina sebuah masyarakat demokrasi yang benar-benar bebas, adil dan saksama.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengucapkan selamat menyambut Hari Mei Satu kepada seluruh warga pekerja dan berharap kita semua akan menjadikan Hari Mei Satu ini satu lambang bagi semua rakyat tertindas untuk melawan segala penindasan dan pemerasan.

Marilah kita jadikan Hari Mei Satu, sebagai satu hari kita melawan balik dan menuntut kuasa pekerja!

Hancurkan sistem kapitalis! Kita tidak akan membayar sesen untuk selamatkan sistem kapitalis

Kerajaan bertanggungjawab sediakan kerja untuk semua! Tiada seorang pun patut ditinggalkan!

Hidup pekerja! Hidup Perjuangan!

Choo Chon Kai
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM

Dipetik dari laman http://diskopi.wordpress.com/

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home