Wednesday, December 9, 2009

Memorandum JERIT Bersama Organisasi & Individu Kepada Menteri Besar Johor


MEMORANDUM JERIT BERSAMA ORGANISASI & INDIVIDU KEPADA MENTERI BESAR JOHOR


TARIKH: 5 Dis 2008

KAYUHAN DARI UTARA, SELATAN DAN TIMUR MENUNTUT PERUBAHAN

Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) yang ditubuhkan pada Mac 2002 adalah satu gabungan kumpulan masyarakat yang menjadi mangsa sistem politik, ekonomi, sosial dan pentadbiran negara yang berat sebelah kepada segelintir kecil golongan berada dan kaya.

JERIT telah memimpin beberapa kempen. Antaranya ialah kempen Akta Gaji Bulanan, kempen Hak Rumah Selesa, Kempen Mansuhkan ISA, AUKU dan akta zalim lain dan Kempen Tutup Sektor Ladang. Kempen-kempen ini telah berjaya memupuk semangat kepada golongan tertindas untuk terus menuntut hak mereka. Malah pilihanraya ke-8 membuktikan tahap kesedaran rakyat dalam menuntut perubahan. Perubahan kerajaan tidak semestinya membawa perubahan kepada taraf hidup rakyat.

Kemelesetan ekonomi sedang merebak ke seluruh dunia dan rakyat miskin menjadi mangsa pertama yang akan kehilangan kerja dan pendapatan. Kerajaan Perseketuan pula asyik kata kita akan selamat dari krisis ini! Banyak kerajaan lain pula sibuk menjaga kepentingan kaum majikan. Siapa yang bertanggungjawab ke atas 10.7 juta pekerja di Malaysia dan 37% rakyat miskin yang berpendapatan kurang dari RM1,500?

Jurang kaya dan miskin masih tinggi. 57.7% isi rumah (Jabatan Statistik, 2007) berpendapatan kurang daripada RM3, 000 sebulan walhal pendapatan per kapita (Jabatan Statistik, Sept 2008) adalah RM2,043 (bermakna sebuah keluarga 5 orang harus mempunyai pendapatan RM2,043 x 5 = RM10,215. Jadi mana perginya RM7,000 lagi?)

Maka itu, KEMPEN BASIKAL dimulakan dari 3 penjuru Utara-Selatan-Timur. Ia bertujuan mempopularkan tuntutan rakyat dan menyerahkan tuntutan rakyat kepada wakil pemerintah di setiap kawasan dan negeri. Di Johor, kempen ini akan bermula dari Skudai pada 6 Disember 2008 dan tiba di Gemas pada 9 Disember 2008.

Kempen ini akan diakhiri di Parlimen pada 18 Disember 2008 dimana satu memorandum akan dihantar kepada Perdana Menteri menuntut isu rakyat biasa diselesaikan.


TUNTUTAN-TUNTUTAN RAKYAT TERTINDAS

Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan di peringkat Johor adalah seperti berikut:

1. Mansuhkan Akta Zalim ISA, EO, DDA, AUKU, OSA

• Undang-undang yang zalim dan lapuk seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act, ISA), Ordinan Darurat (EmergencyOrdinance, EO), Akta Dadah Berbahaya (Dangerous Drugs Act, DDA) masih digunakan secara meluas untuk menahan suspek tanpa proses perbicaraan.
• Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digunakan terhadap pelajar universiti supaya merka tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau pertubuhan politik.
• Kebebasan akhbar dan media massa kekal dikawal secara ketat melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Printing press and Publicatiuon Act, PPPA). Akibatnya akhbar harian di Malaysia tidak dapat menyiarkan berita yang benar.Malaysia telah mencatatkan pencapaian terburuk dalam kedudukan indeks kebebasan akhbar yang dikeluarkan oleh Reporters without Borders- menjunam ke anak tangga 132. Bloggers juga dikecam dengan tindakan undang-undang kerana memaparkan pandangan yang berbeza tentang kerajaan.
• Kerajaan terus menggunakan Akta Rahsia Rasmi (Official Secrets Act, OSA)secara sewenang-wenang dengan mengancam suspek dan maklumat-maklumat penting dan wajar dikongsi bersama rakyat Malaysia, disekat.

Maka, untuk menjaga kepentingan kelas pekerja dan rakyat biasa, akta –akta zalim yang merampas hak asasi manusia harus dimansuhkan.

2. Menghormati Hak Berpersatuan

Berdasarkan Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia, semua warganegara Malaysia mempunyai kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan yang merupakan ciri-ciri penting dalam sistem negara demokrasi. Akan tetapi, tindakan kerajaan mengharamkan kumpulan HINDRAF, berkali-kali menghalang perhimpunan secara aman seperti perhimpunan BERSIH, himpunan malam Anti ISA dan lain-lain telah bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.


3. Harga Barangan Dikawal Dan Berpatutan

Kadar inflasi 8.5% yang tertinggi dalam masa 27 tahun. Kenaikan harga petrol dari RM 1.92 kepada RM2.70 pada Mei 08 telah melonjakkan semua harga barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak dan makanan. Kenaikan tarif elektrik bermula pada Julai 1, 2008. Kenaikan harga tambang bas. Tetapi, tiada kenaikan gaji. Kenaikan harga barangan asas dan perkhidmatan awam lebih 20% amat membebankan rakyat. Rakyat mesti dilindungi:

• Rakyat berhak mendapat barangan asas dengan harga murah dan berpatutan
• Barang kawalan yang dikawal harganya perlu dipastikan mencukupi dengan permintaan rakyat.
• Galakkan pertanian dengan memberi tanah dan subsidi baja dan penduduk Bandar harus diberi insentif untuk menanam bahan makanan.
• Pencatuan Makanan (Ration) kepada keluarga miskin yang berpendapatan kurang daripada RM1, 500

4. Lindungi Pekerja Semasa Krisis

Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi golongan berpendapatan rendah terutama dalam keadaan ekonomi meleset. Adalah tidak bermoral kerajaan amalkan polisi buruh murah dan undang-undang Buruh yang menindas pekerja. Walaupun pekerja bukan punca krisis ekonomi namun mereka yang sering menjadi mangsa. Sebuah kerajaan prihatin mesti segera;

i) Mengubal Akta Gaji Minima RM1500

Pada tahun 2007, pihak Kerajaan yang telah mengumumkan kenaikan gaji sehingga 35% kepada kakitangan sektor awam dan tambahan kenaikan sebanyak 20% untuk pihak polis. Kerajaan mengakui kos sara yang tinggi adalah faktor utama bagi kenaikan gaji tersebut. Bagaimana pula dengan pekerja-pekerja swasta yang lain?

Gaji pokok yang diterima oleh pekerja kilang sekitar RM350 hingga RM480 sahaja. Statistik MTUC menunjukkan 2 juta pekerja di Malaysia hanya menerima RM600 gaji sebulan. Statistik Kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-8 menunjukkan 25% daripada rakyat Malaysia memperolehi pendapatan sekeluarga kurang daripada RM1,000 sebulan. Jadi adalah wajar dan tepat masanya untuk pihak Kerajaan menggubal Akta Gaji Minima RM1500.

ii) Mengimplementasi Tabung Pemberhentian Kerja terutama kepada pekerja kontrak dan mereka yang kehilangan kerja akibat syarikat menjadi bankrap

iii) Mewujudkan Peluang Pekerjaan. Kini tahap pengangguran 3.5%. Kadar ini akan meningkat akibat krisis ekonomi dan taraf hidup rakyat akan menjadi lebih teruk.

5. Perumahan Selesa Untuk Rakyat

Rumah yang selesa adalah hak asasi manusia tetapi rakyat Malaysia terutamanya peneroka bandar dan pekerja ladang mengalami masalah pengusiran paksa dari tempat tinggal mereka. Deklarasi antarabangsa untuk Adequte Housing menyatakan bahawa dasar perumahan selesa perlu disediakan kepada setiap rakyat. Kerajaan perlu bina rumah teres kos rendah atau memperuntukkan lot tanah untuk membina rumah yang mencukupi, murah dan berkualiti untuk keselesaaan dan keharmonian kehidupan keluarga warga pekerja.

6. Hentikan Penswastaan Perkhidmatan Asas

Penswastaan perkhidmatan kemudahan asas menyebabkan tarif elektrik naik, kos penyelenggaraan di flat-flat perumahan melambung tinggi, perkhidmatan hospital kerajaan yang bertukar wajah ke swasta membebankan lagi rakyat. Hampir segala keperluan asas rakyat dari segi makanan, air, elektrik, pendidikan, pengangkutan dan perkhidmatan kesihatan telah dan sedang diswastakan. Ini secara langsung telah menambahkan beban rakyat.

7. Kembalikan Pilihanraya Majlis Tempatan

Pilihanraya majlis tempatan yang pertama diadakan di Georgetown, Pulau Pinang pada 1857. Namun, pada tahun 1963 amalan ini telah dihapuskan dan melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976, ahli majlis tempatan dilantik oleh kerajaan negeri dan bukan lagi dipilih oleh rakyat.

Tanpa pilihan raya, ahli majlis tempatan tidak bertanggungjawab terhadap konstitusi mereka terutamanya kepada pembayar serta tidak telus dalam tindakan mereka. Sistem pemilihan ini tidak mempedulikan rungutan dan masalah orang ramai kerana ahli majlis yang dilantik tidak khuatir atau takut akan dibuang walaupun prestasi kerja yang buruk.

Di samping itu, korupsi dan penyalagunaan kuasa telah semakin serius di kalangan ahli majlis. Contohnya:

• Ahli Majlis Perbandaran Klang YB Datuk Zakaria Mat Deros yang membina rumah bangalonya di Kampong Idaman tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Klang;
• Majlis Perbandaran Subang yang membina tandas awam dengan kos RM90,000 satu;
• Majlis Perbandaran Ipoh yang membeli meter parking dengan kos RM34,000 satu;
• Majlis Perbandaran Penang yang membina jejentas (Fly over) di Jalan Masjid Negeri dengan kos Rm7.95 million dan memberi kebenaran kepada projek pembinaan jalan Penang Outer Ring Road, kosnya RM1.02 billion
• Dewan Perbandaran Kuala Lumpur yang membayar RM542 satu meter granite kerbs; (sebenarnya concrete kerbs ini hanya berkos RM27)

Rasional tuntutan

Kerajaan Tempatan mendapat pendapatan mereka melalui pelbagai jenis cukai yang dibayar oleh orang ramai. Namun, pembayar cukai tidak diberi hak untuk menentukan calon mereka. Oleh itu, kini sudah tiba masanya untuk kita:

• Memulihkan Pilihanraya Kerajaan Tempatan yang lebih demokrasi!
• Menghapuskan korupsi dan penyelewengan yang semakin berleluasa!
• Menghapuskan kronisma dan mewujudkan ahli majlis yang lebih bertanggungjawab!

KESIMPULAN

JERIT menuntut setiap wakil rakyat dan wakil pemerintah yang menerima memorandum ini agar membawa isu-isu ini ke Parlimen dan berusaha mengubal undang-undang baru demi melaksanakan tuntutan rakyat tertindas.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home